Sejak akhir-akhir ini, saya ditimpa ujian 'ketakutan' yang agak melampau.
Saya sering memikirkan jutaan kemungkinan dan ujian yang akan Allah timpakan kelak.Dan bagaimanakah akan saya lalui semua itu nanti. Terasa seperti tidak akan mampu.
Ketahuilah,perasaan itu tidak akan pernah mampu dikawal oleh diri sendiri. Sesungguhnya Allah S.W.T sahajalah yang mampu dan berkuasa mencampakkan apa-apa rasa dalam hati kita.
Dan kerana itulah, saya telah cuba meyakinkan diri dengan pelbagai cara dan kata-kata, namun begitu, saya lelah dan gagal di penghujungnya.
Saya masih lagi takut dan bimbang.
Sehinggalah satu saat, Allah campakkan sebuah ketenangan dan keyakinan yang menyedarkan saya hakikat keimanan yang telah lama tidak saya renungi.
Bahawa,
Sehingga tiba saat-saat ujian yang akan Allah timpakan itu, saya ada Allah untuk bergantung harap. Dan jika ditakdirkan bahawa ujian itu tidak dapat saya lalui dengan baik, saya masih ada Allah. Saya masih hamba Allah dalam apa-apa keadaaan sekalipun.
Jika segala item, ciptaan, dan kesinambungan dari segala kewujudan dalam dunia ini telah Allah takdirkan untuk mencetus satu ujian untuk saya, saya masih hamba ALLAH ketika itu. Dan kerana itu saya masih ada Allah untuk berpaling pada.
Dan saya perlu besarkan jiwa, agar saya tahu bahawa akhirat adalah medan sebenar nanti. Ujian dunia, tangani cara dunia. Ujian yang perlu saya takuti sebenar-benarnya adalah ujian untuk melawan hawa nafsu saya sendiri kerana itulah ujian yang menentukan masa depan medan sebenar saya kelak.
Makanya, saya sedar bahawa jikalah kelak saya diuji dengan ujian dunia, saya masih hamba Allah dan dengan keizinannya saya mengharapkan agar saya dapat lalui dan selesaikan dengan baik.
Dan saya perlu takutkan ujian yang menentukan nasib saya di akhirat nanti, iaitu ujian hawa nafsu.
"Kebimbangan dunia menggelapkan hati dan kebimbangan akhirat itu cahaya untuk hati"
Saidina Uthman
Semoga hati saya, mak abah, adik-beradik, saudara mara,dan sahabat- sahabat saya semuanya dihiasi cahaya-cahaya kebimbangan untuk akhirat ini.
Agar tuaian kita kelak lumayan. Bertemu Tuhan dalam keadaan terbaik dalam kisah hidup kita.
قال صلى الله عليه وسلم: "والله ما الدنيا في الآخرة إلا مثل ما يجعل أحدكم أصبعه في اليم فلينظر بم يرجع" أخرجه مسلم وأحمد -صحيح الحامع 7100
وقال صلى الله عليه وسلم: "من كانت الآخرة همه جعل الله غناه في قلبه وجمع له شمله وأتته الدنيا وهي راغمة، ومن كانت الدنيا همه جعل الله فقره بين عينيه، وفرق عليه شمله ولم يأته من الدنيا إلا ما قُدر له" رواه الترمذي عن أنس وصححه الألباني - صحيح الجامع 6510
No comments:
Post a Comment