Sunday, January 6, 2019

Jari jemari terasa gatal ingin menulis kembali setelah lama meninggalkan papan kekunci di website blogger.

Menulis itu terapi. InsyaAllah saya akan menulis kembali untuk merawat diri sendiri :)

Belajar dari hidup.

2 minggu lalu, saya menghadiri 1 majlis khatam seorang junior yarmouk, namanya faiqah.

Dia menghabiskan ijazah bacaan al-quran secara hadhir dalam tidak sampai 2 bulan, kerana mengejar masa agar sempat khatam sebelum graduasinya.

Saya tidak dijemput oleh dia sendiri, sebaliknya saya dijemput oleh sheikhahnya, yang juga merupakan sheikhah saya di mana saya mengambil ijazah dan sanad bacaan Al-Quran.

Saya datang awal pada masanya, faiqah dan rakan-rakan tiba agak lambat. Apabila mereka tiba, saya canggung, melihat ramai yang hadir. Faiqah datang menatang sebiji kek.

Entah apa perasaan yang hadir ketika itu melihat sekumpulan orang, mengiringi sahabatnya yang membawa kek untuk majlis khatam Al-Quran dia seorang.

Beberapa bulan dahulu, saya juga khatam Al-Quran. Tetapi ketika itu hanya saya berdua. Saya dan sheikhah. Saya mengkhatamkan Al-Quran dengan disaksikan guru saya yang disayangi itu, dan pasti disaksikan Allah Tuhan Maha Agung.

Tamat bacaan Al-Quran saya, sheikhah memberitahu, bahawa sebenarnya adalah disukai/sunnah mengadakan majlis khatam di hadapan orang ramai. Saya tersengih-sengih ketika itu. Saya tahu, saya belajar fakta itu. Ia ada dalam kitab munir, buku tajweed yang berulang-ulang saya baca untuk menjawab soalan peperiksaan, juga berulang-ulang diajar.

Tetapi hidup saya memang sudah sering sendiri. Saya selesa, saya terbiasa. Sebelum majlis khatam saya, sheikhah ada bertanya, adakah saya ingin khatam beramai-ramai dengan jemputan di markaz Al-Quran (pusat Al-Quran tempat saya berdaftar) atau hanya berdua dengannya di rumah, lantas saya jawab hanya di rumah sheikhah, bersama sheikhah.

Dan hari itu, apabila saya menghadiri majlis khatam faiqah, perasaan aneh itu datang. Saya tidak memahami apa yang saya lihat. Dan sebenarnya beberapa masa sebelum majlis khatam faiqah itu, ada beberapa majlis khatam sahabat-sahabat yang saya  kenali baik melalui housemate saya.

Saya lihat housemate saya sebelum majlis khatam sahabat itu, mereka sehingga berjaga malam, sehingga ada kawan lain yang datang tidur di rumah saya, buat sama-sama menyediakan manisan, kuih, kek, buat meraikan sahabat yang khatam itu. Mereka akan membawakan makanan itu untuk dihidang kepada jemputan-jemputan sahabat itu, dalam majlis khatam nanti.

Canggung, aneh. Suasana itu asing, saya langsung tidak biasa dengan pemandangan itu. Dan ketika itu saya mula belajar dari mereka, (sebenarnya terlalu banyak yang sudah dipelajari).

Dan dengan menghadiri majlis khatam faiqah, saya memperbaharui pengajaran itu. Sheikhah berulang-ulang kali mengatakan, untuk majlis khatam saya akan datang (untuk hafazan) mesti lebih diraikan dari majlis khatam ijazah hadhir faiqah, dan apatah lagi majlis khatam 'lonely' saya dahulu.

Saya mengangguk. Saya sudah belajar.Tetapi keseorangan itu juga saya belajar, lebih lama dari saya baru mempelajari kebersamaan dan keramaian ini. 

Termenung panjang saya, mengingati orang-orang dalam hidup saya.

Allahummajma'na fil jannah.

p/s:publishing what i drafted 4 years ago