Wednesday, May 28, 2014

Wasiat dari guru.

Bismillahirrahmanirrahim.

Semalam, selepas saya membaca Al-Quran di hadapan guru, saya mengkhabarkan kedatangan mak, abah, khadijah dan imran (adik saya) pada minggu hadapan. Guru tersenyum gembira, guru teruja ingin merai mereka. Guru menjemput saya untuk membawa mak dan adik perempuan saya ke rumahnya untuk berkenalan. Saya memang sudah berniat sebegitu. Masakan tidak, seolahnya guru ini lah mengajar saya meniarap, merangkak, bertatih dan berjalan dalam dunia Al-Quran. Guru yang sudah berumur, yang sakit tulang belakangnya sering disorok, sering ditahan saat saya memperdengarkan bacaan Al-Quran, kerana dia terpaksa menunduk melihat mushaf.

Subhanallah. Tak terkira besar sungguh jasa guru buat saya.

Saya terlalu ingin mempertemukan mak dengan guru. Kerana mak abah lah yang tidak putus-putus mengirim doa dan semangat buat saya agar berduniakan Al-Quran, dan Allah bilutfih, mengirimkan guru buat membimbing saya.

Terasa tidak mampu untuk mahu meninggalkan dunia sebegini. Tidak kan tergambar bagaimana ia akan menjauh dan tahu ia tidakkan dapat didekati lagi. Sebelum ini, saya boleh keluar, dan boleh masuk kembali. Jika saya culas, ia jauh sebentar dan saya boleh pulang ke dunia itu bila-bila masa. Tapi, ia akan saya tinggalkan jauh seberapa masa lagi.

Semalam, guru banyak berwasiat pada saya. Saya masih ingat bahawa saat saya mengambil peperiksaan ijazah Al-Quran di hadapan 2 orang sheikh, dan dengan izin Allah, saya diluluskan oleh mereka saat itu. Mereka menyerahkan pada saya sekeping kertas. Tertulis di atasnya, sebuah janji bahawa saya akan mengajar 3 orang lagi anak murid tanpa mengambil sebarang upah.

Dan semalam, guru mengingatkan pada saya, bahawa saya masih perlu menunaikan janji itu, saya perlu menunaikan tanggungjawab mengajarkan Al-Quran kepada orang. Dan guru berpesan agar saya tidak meninggalkan Al-Quran, tidak melupakan Al-Quran. Agar saya menyertai pertandingan-pertandingan hafazan Al-Quran agar itu memaksa saya mengulang hafazan saya. Dan kata guru, antara cara berkesan mengulang hafazan adalah dengan membacanya di dalam solat. Dan guru mula mengira-ngira jumlah solat sunnat yang boleh dilakukan buat mengiringi solat fardhu setiap hari.

Subuh, 4 rakaat. Zohor,8. Asar,8 (4rakaat qabliah). Maghrib,7. Isya, 9 termasuk witir.

Kata guru, jumlah rakat ini membolehkan saya membaca lebih kurang 1 juz setiap hari di dalam solat. Kerana itu, guru menasihati saya untuk mula mengamalkannya.

Saya terkebil-kebil, mengucap 'insyaALLAH'.

Semoga catatan ini akan ada di masa saya memerlukannya.

Ya Allah, cucurilah kasih sayang buat guru-guru, dan dengan rahmat Mu, pertemukanlah kami di syurga Mu kelak..

Thursday, May 22, 2014

30 juzuk, mudahnya!

Lamanyaaa tak menulis.

Mimpi apa entah, tiba-tiba terasa hendak menulis sangat pagi ini.

Hendak menulis di facebook, tetapi seperti kurang sesuai. Mudah-mudahan ada lah manfaat buat sesiapa yang membaca.

Saya menulis ini, adalah saat di tengah mengulang Al-Quran. Saya masih hamba Allah yang mengulang bukan kerana suka, tapi masih kerana terpaksa. Saya sendiri mewujudkan keterpaksaan itu, dengan meletakkan diri sebagai seorang anak murid tunggal seorang sheikhah Arab, untuk saya membaca Al-Quran kepadanya 30 juzu' secara hafazan. Sheikhah yang tidak boleh saya menculaskan diri, kerana hanya sayalah anak didiknya. Yang apabila saya tidak lancar, dia akan memberhentikan saya di situ, menutup mushaf, menggagalkan saya dari target saya. Apatah lagi tidak boleh untuk saya tidak hadir, kerana hanya sayalah yang ditunggu.

Selepas saya habis menghafaz 2 tahun yang lalu, bertarikh 9 April 2012, ada sahabat-sahabat yang bertanya-tanya jalan saya menghafaz bagaimana, atau mengagumi saya kerana ia seolah mudah buat saya.

Dan kerana di saat mereka bertanya itu saya sudahpun meninggalkan dunia hafazan first timer (orang yang pertama kali menghafaz 30 juz) saya ingat pada saat ini, bahawa ketika saya menjawab itu saya acuh tidak acuh.

Jawapan saya kebiasaannya akan berbunyi seperti tarik rambut dalam tepung. Agar rambut tidak putus, tepung tidak terserak. (Ada ke peribahasa ni?) Dokpe, yang penting ketika menjawab saya tidak mahu ia berbunyi seperti terlalu mudah untuk saya, dan saya tidak juga mahu ia berbunyi terlalu susah untuk yang bertanya.

Tetapi ketika itu kenangan sudah kering. Saya sudah jauh dari basah-basah airmata menghafaz. (Kalau ada)

Tapi. saat ini, saat papan kekunci ini saya tekan, Al-Quran asing juz 25 sedang terbuka di hadapan, Saya sedang tepu.

Sejak 3 hari yang lalu, saya sedang mengulang juz 25, untuk saya bacakan secara ghaib (hafazan) kepada guru saya 3 hari lagi. Juz 25 telah terlalu lama saya tinggalkan. Terlalu lama.

Saya telah lupa kenangan bilakah saya bersungguh mengulang juz ini sejak saya khatam kan hafazan nya 9 April 2 tahun lalu. Dan kerana itu, semua orang pasti tahu akibatnya, bahawa saya telahpun lupa hafazan saya.

Pada saat ini, juz 25 seolah perlu saya hafaz kembali seperti hafazan baru. Dan saya kini mengimbau kembali perasaannya bagaimanakah rasanya menghafaz Al-Quran untuk first timer.

Kenangan itu basah kembali. Dan sungguh, ia tidak mudah. Saya berani bersumpah (tetapi tidak bersumpah lagi tau, berani je) bahawa ia sungguh tidak mudah. Menghafaz Al-Quran itu sungguh sukar bagi saya, 2 tahun yang lalu. Tipu, jika orang melihat saya melaluinya dengan mudah. Mereka tidak tahu.

Juz 25 ini, hari ini, membasahkan kembali kenangan-kenangan perit (tetapi padan muka) saya saat menghafaz. Saya tepu, stress, nak menangis sebab bakpe menghafaz tak masuk-masuk, rasa nak muntah. Ini semua perasaannya. (Kalau ada exaggeration mungkin hiperbola).Tapi saya mengharap dengan sedikit kesusahan ini, akan dikurniakan kemanisan di penghujungnya kelak. 

Jika ditanya lagi, ingin saya menjawab dengan sungguh-sungguh bahawa tiada langsung jalan yang mudah untuk mendapatkan perkara yang berharga. Seperti manusia yang bertarung dengan nafsunya untuk mendapatkan syurga dan menjauhi neraka, adakah mudah? Bersabarlah.

Dan saya teringat patah lirik lagu Jejak Cita oleh Devotees
"Di sana tiada jalan yang mudah, hanya yang sabar dan terus melangkah."

Semoga dengan niat ikhlas semua hamba Allah yang sedang berada di jalan ini, kita semua dikurniakan seinci, sedepa, selangkah atau beribu jutaan langkah semakin dekat dengan Allah s.w.t.

Dan ya Allah, dengan rahmatMu rezekikanlah kami ikhlas.