Wednesday, May 28, 2014

Wasiat dari guru.

Bismillahirrahmanirrahim.

Semalam, selepas saya membaca Al-Quran di hadapan guru, saya mengkhabarkan kedatangan mak, abah, khadijah dan imran (adik saya) pada minggu hadapan. Guru tersenyum gembira, guru teruja ingin merai mereka. Guru menjemput saya untuk membawa mak dan adik perempuan saya ke rumahnya untuk berkenalan. Saya memang sudah berniat sebegitu. Masakan tidak, seolahnya guru ini lah mengajar saya meniarap, merangkak, bertatih dan berjalan dalam dunia Al-Quran. Guru yang sudah berumur, yang sakit tulang belakangnya sering disorok, sering ditahan saat saya memperdengarkan bacaan Al-Quran, kerana dia terpaksa menunduk melihat mushaf.

Subhanallah. Tak terkira besar sungguh jasa guru buat saya.

Saya terlalu ingin mempertemukan mak dengan guru. Kerana mak abah lah yang tidak putus-putus mengirim doa dan semangat buat saya agar berduniakan Al-Quran, dan Allah bilutfih, mengirimkan guru buat membimbing saya.

Terasa tidak mampu untuk mahu meninggalkan dunia sebegini. Tidak kan tergambar bagaimana ia akan menjauh dan tahu ia tidakkan dapat didekati lagi. Sebelum ini, saya boleh keluar, dan boleh masuk kembali. Jika saya culas, ia jauh sebentar dan saya boleh pulang ke dunia itu bila-bila masa. Tapi, ia akan saya tinggalkan jauh seberapa masa lagi.

Semalam, guru banyak berwasiat pada saya. Saya masih ingat bahawa saat saya mengambil peperiksaan ijazah Al-Quran di hadapan 2 orang sheikh, dan dengan izin Allah, saya diluluskan oleh mereka saat itu. Mereka menyerahkan pada saya sekeping kertas. Tertulis di atasnya, sebuah janji bahawa saya akan mengajar 3 orang lagi anak murid tanpa mengambil sebarang upah.

Dan semalam, guru mengingatkan pada saya, bahawa saya masih perlu menunaikan janji itu, saya perlu menunaikan tanggungjawab mengajarkan Al-Quran kepada orang. Dan guru berpesan agar saya tidak meninggalkan Al-Quran, tidak melupakan Al-Quran. Agar saya menyertai pertandingan-pertandingan hafazan Al-Quran agar itu memaksa saya mengulang hafazan saya. Dan kata guru, antara cara berkesan mengulang hafazan adalah dengan membacanya di dalam solat. Dan guru mula mengira-ngira jumlah solat sunnat yang boleh dilakukan buat mengiringi solat fardhu setiap hari.

Subuh, 4 rakaat. Zohor,8. Asar,8 (4rakaat qabliah). Maghrib,7. Isya, 9 termasuk witir.

Kata guru, jumlah rakat ini membolehkan saya membaca lebih kurang 1 juz setiap hari di dalam solat. Kerana itu, guru menasihati saya untuk mula mengamalkannya.

Saya terkebil-kebil, mengucap 'insyaALLAH'.

Semoga catatan ini akan ada di masa saya memerlukannya.

Ya Allah, cucurilah kasih sayang buat guru-guru, dan dengan rahmat Mu, pertemukanlah kami di syurga Mu kelak..

No comments:

Post a Comment