Wednesday, November 14, 2012

2 Tahun Terakhir

Bismillah.

Sudah lama sungguh tidak menulis.

Beberapa bulan telah berlalu semenjak tarikh terakhir saya menulis. Dan dalam beberapa bulan itulah, terlalu banyak perkara telah Allah takdirkan untuk berlaku dalam kehidupan saya. Terlalu banyak perkara yang berubah, dari pelbagai sudut. Cepat sungguh masa berlalu, dan secepat itu pula hayat ini akan berakhir. Semoga Allah mengurniakan husnul khatimah untuk kita. Amin.

Tahun ini adalah tahun kedua terakhir sebelum saya akan pulang ke Malaysia menamatkan pengajian. InsyaALLAH. Dan sayup-sayup keberatan itu sudah mula terasa. Aneh juga, kerana mungkin bagi sesetengah orang, masih awal untuk saya merasai suasana perpisahan itu. Tapi hakikatnya, saya memang berat hati meninggalkan tanah tempat saya belajar banyak perkara ini. Berat hati kerana perpisahan dengan sahabat-sahabat soleh dan solehah yang entah bila pula akan bertemu dengan orang sebaik mereka.

Tiga tahun yang berlalu di sini, merupakan tiga tahun yang pantas, tetapi penuh berisi. Saya belajar jutaan perkara, yang menolak saya untuk berubah dari sudut itu dan ini, menujah saya untuk menukar pandangan saya dalam perkara itu dan ini. Saya langsung tidak menafikan bahawa kehidupan ini adalah pelajaran, dan itu bermakna tahun-tahun sebelum saya datang ke Jordan juga adalah pelajaran buat saya, tetapi pada tahap ini dan umur sebegini, saya baru sahaja mula cuba untuk berfikir-fikir dan merenungi perjalanan kehidupan, dan matlamat yang perlu saya tuju.

Dalam beberapa tahun di Jordan, saya banyak berfikir bagaimana dan apa yang telah Allah sembunyikan di sebalik kisah-kisah hidup saya dan orang sekeliling, di sebalik tempat-tempat yang Allah takdirkan saya untuk berada di situ untuk jangka masa yang lama, di sebalik orang-orang sekeliling yang Allah takdirkan saya untuk tinggal dalam kelompok mereka, di sebalik sahabat-sahabat yang Allah takdirkan mereka untuk mengelilingi saya dan hidup berdamping dengan mereka, dan suasana yang Allah letakkan saya di dalamnya.

Saya jatuh. Saya bangun. Saya berjalan. Saya berlari. Saya menangis. Saya ketawa. Saya makan. Saya minum. Saya belajar. Tetapi semua itu saya lakukan di tempat, suasana, dan bersama orang-orang yang berbeza dalam setiap tempoh atau fatrah tertentu dalam kehidupan saya. Ah, terlalu banyak yang masih belum saya fahami.

Orang kata lingkaran sahabat sekeliling yang rapat dengan saya semua baik-baik. Dan saya dengan sepenuh hati dan kesyukuran mengakui perkara itu, membuatkan hati ini cepat terasa beratnya hendak berpisah dengan kebaikan mereka. Orang juga berkata hidup terlalu selesa jika hanya dikelilingi kebaikan dan orang yang baik,tetapi saya berkata bahawa mudah-mudahan jika suatu hari nanti Allah campakkan saya di satu tempat yang asing suasananya, tiada orang baik-baik, apa yang telah saya lalui dan fatrah bersama dengan sahabat-sahabat baik satu ketika dahulu itu menjadi kekuatan untuk saya, menjadi isi untuk saya sampaikan, menjadi pengalaman istiqamah buat saya terus mengusahakan istiqamah yang sama di mana-mana.

Orang yang tidak merasa, dia tidak akan faham. Jika saya tidak pernah mengusahakan istiqamah untuk diri saya dalam suasana, sahabat dan tempat yang baik ini, maka mungkin sahaja jika saya berpisah dengan suasasa begini, saya tidak tahu apa-apa. Tidak tahu apa yang saya rindui. Tidak tahu apa yang saya hilang. Tidak tahu apa yang perlu saya usaha untuk diistiqamahkan, kerana memang saya tidak pernah merasa istiqamah itu.

Mungkin tahun-tahun ini adalah tahun-tahun yang Allah takdirkan untuk mendidik saya. Mungkin didikan itu adalah persediaan untuk tahun-tahun akan datang. Mungkin.




Thursday, April 26, 2012

Hari riang! Alhamdulillah.

"أحبك في الله"

Kata sheikhah Umaimah, saat kami bersalaman.

Tersenyum riang saya sepanjang perjalanan pulang dari kelas pengajian kitab tanbihul ghafilin menuju ke tempat mesyuarat.

Saya membalas pendek sahaja kata-kata sheikhah tadi , kerana agak terkejut dan terharu. 

Namun selepas itu, ada tuturan ikhlas darinya, 

"Pasti satu hari nanti awak akan lupakan saya. Saya sudah bertemu ramai orang dalam kehidupan ini, dan seorang demi seorang mengatakan hal yang sama, mengatakan mereka tidak akan melupakan saya, tetapi itulah juga yang berlaku akhirnya.."

Saya lebih-lebih lagi terdiam. Hanya mampu berkata "tidak.. pasti tidak.. insyaALLAH.."

Jauh di hati saya, saya sangat sayangkan insan-insan yang Allah hadirkan untuk mendidik jiwa saya yang lemah ini. Tidak pernah saya terbayangkan bahawa saya dikurniakan oleh Allah peluang untuk bertemu dengan mereka yang dapat saya rasakan bahawa hubungan dan pergantungan nya pada Allah sangat erat. Kata-kata mereka sungguh ringan untuk masuk menyentuh jiwa keras saya. Dan pastilah Allah lebih mengetahui darjat mereka di sisi-Nya, mungkin jauh lebih mulia dari yang manusia terbayangkan. Allah,banyak lagi yang perlu saya timba dan pelajari dari mereka. 

Mereka ini telah membawa saya pulang memeluk jiwa hamba. Mereka mendidik hati dan ruh saya dengan pasak-pasak iman. Mereka mahu saya menjadi insan yang penuh dengan sabar, penuh dengan redha, penuh dengan tawakkal pada Tuhan. 

Segala pasak-pasak inilah yang sering ditutur dan diulang-ulang oleh sheikhah saya sepanjang pengajian. Agar saya tidak membesar-besarkan lagi seluruh dunia dan seisinya. Agar saya menundukkan hati dari persoalan-persoalan takdir Tuhan yang berlarutan. 

Jauh dalam hati, saya yakin saya pasti merindui saat-saat bersama dengan guru-guru saya sepanjang di Jordan ini. Semahu mana saya agar masa ini pantas berlalu, sekuat itu jugalah rasa agar sebahagian lagi dimensi waktu lambat berlalu. Tapi saya akur, dunia tidak begitu. 

Bersyukur kerana ada juga kisah ini di antara ribuan kisah dalam hidup saya. Dan pastilah Allah yang mentakdirkan dan memberi peluang untuk saya merasai kisah ini. Akan saya kenang insyaALLAH.




Saturday, April 21, 2012

Sekali-sekala kita perlu berhenti dari teknikal

Kadangkala saya rasa technicalities 'menkontangkan' dan 'menggersangkan' jiwa. Pasti ada yang masih kabur dengan kenyataan sebegini.

Apa yang saya maksudkan adalah apabila kita terlalu menilai sesuatu perkara yang berlaku adalah disebabkan perkara-perkara teknikal.

Saya berikan contoh.

Seorang mukmin yang sudah biasa bangun malam, tiba-tiba pada satu hari dia terlepas dari amalan itu, malahan terlewat Subuhnya dan gagal berjemaah di masjid.

Sudah pasti dia kecewa dengan harinya ketika itu, dan mula bermuhasabah mengapa berlaku hari yang sebegitu, sedangkan hari-harinya sebelum itu sangat smooth dalam ibadah nya pada Allah.

Maka dia berfikir-fikir, dan ada beberapa perkara yang dia rasakan mungkin adalah penyebab mengapa dia terlewat bangun pada hari itu. Pada hari sebelumnya, dia tidur lewat. Pada hari sebelumnya juga, dia letih bekerja sehingga ke lewat petang. Pada hari sebelumnya, dia terlupa mengunci 'alarm'.

"Settle.." fikirnya.

****

Contoh lain, seorang penghafaz Al-Quran yang sedang mengulang atau menghafaz ayat baru. Sehari itu, dia merasakan sangat sukar untuk menghafaz. Sedangkan dia itu sudah biasa menghafaz banyak juzu dari Al-Quran, tetapi entah mengapa muka surat itu begitu sukar.

Dia pun bertanyakan sahabat-sahabatnya, lalu ramai yang memberi nasihat bahawa dia tidak fokuskan minda nya saat dia menghafaz Al-Quran, dia menghafaz selepas Asar, dia menghafaz dalam suasana yang bising. Kerana itu dia sukar menghafaz page yang satu itu.

"Settle.." fikirnya.

****

Contoh seterusnya, seorang pengurus program atau aktiviti kebajikan. Dia ini sangat terkenal dan pandai dalam menguruskan program. Tiba-tiba dalam satu daripada program-programnya, hanya sedikit peserta yang mendaftar. Tidak seperti yang dijangkakan.

Maka dalam mensyuarat muhasabah, mereka menyenaraikan beberapa cadangan penambahbaikan seperti iklan yang terlewat, tarikh yang tidak sesuai, dan juga tajuk yang kurang menarik

"Settle.." fikir mereka.

****

Tidak. Tidak settle. Perkara-perkara yang dimuhasabahkan terlalu teknikal sebegini lama kelamaan akan mengeringkan jiwa kita. Sedangkan jiwa mukmin itu selayaknya perlu sentiasa basah dalam ingatan, pergantungan dan harapan kepada Allah S.W.T.

Jiwa dan muhasabah mukmin itu sentiasa luas di awalnya, dan akhirnya menemui titik pengakhiran yang sama, iaitu hubungan dengan Allah S.W.T.

Saya tidak langsung menafikan segala segala teknikal ini adalah sangat-sangat penting, kerana dunia ini berjalan mengikut sunnatullah. Bagaimana orang-orang bukan Islam yang kerjanya bagus siang dan malam mampu menguasai ekonomi negara, sedangkan mereka tidak pernah pun bermuhasabah bab-bab keimanan? Bagaimana doktor bukan Muslim yang ramah dan beradab disukai oleh pesakit berbanding Doktor Muslim yang garang dan tidak senyum, sedangkan Doktor bukan Muslim itu tidak pernah berdoa pada Allah?

Semua jawapan-jawapan ini ada pada konsep teknikal ini. Tetapi di akhirnya kita langsung tidak dapat nafikan bahawa, seluruh dunia dan seisinya ini dikawal dan diatur oleh Allah S.W.T. Allah lah yang memberikan rezeki, Allah lah yang memberi kemudahan, Allah lah yang mengawal hati-hati insan.

Di sebalik sunnatullah yang kita sering ucapkan itu, tanpa kita sedari kebergantungan kita sudah sedikit terancam, dan semakin longgar. Keyakinan kita kepada Allah sudah semakin pudar. Di sebalik sunnatullah yang kita pelajari itu, kita gagal menerapkan dalam jiwa kita bahawa ada kuasa agung yang mengawal sunnatullah itu. Ada Allah S.W.T yang mampu merubah sunnatullah itu mengikut kehendak dan iradahnya. Kita lupa sunnah itu Allah yang menetapkan. Ia adalah sunnatullah, iaitu aturan ALLAH. Apabila Dia yang mengatur, Dia juga yang mampu merubah apa jua dari aturannya itu.

Maka, dalam segala kejadian dan kisah-kisah yang berlaku dalam kehidupan kita, kita sedar bahawa ia adalah kehendak Allah. Segala kesusahan kita, tidak kita noktahkan permuhasabahannya di titik teknikal yang membuat jiwa kita kering itu. Kita memanjangkan muhasabah peristiwa-peristiwa ini sehinggalah kita bertemu titik iman dan hubungan dengan Tuhan yang mengaturkan kisah itu, yang mentakdirkan kita selaku watak dalam cerita hidup kita itu. Hanya kerana kita berharap agar Allah S.W.T sentiasa membasahkan jiwa kita dengan keimanan dan pengharapan pada Nya.

Jika orang bukan Islam membuat muhasabah mereka dalam kerangka teknikal, maka kita meluaskan dimensi itu ke kerangka rohani dan kejiwaan, dan keimanan.

****

Satu hari Imam Syafi'i mengadukan dia sukar dalam hafalannya kepada Imam Malik. Lantas Imam Malik menjawab "Ilmu itu cahaya Allah, dan cahaya Allah tidak dihidayahkan kepada pembuat maksiat" aw kama qaal.

****

Beginilah muhasabah yang membasahkan jiwa kehambaan. Mukmin yang sentiasa membuat refleksi akan dosa-dosanya dan hubungan nya dengan Allah, yang mungkin menjadi sebab mengapa urusan hariannya sukar, atau kehidupannya serabut. Inilah yang saya maksudkan. Kita berdoa agar Allah sentiasa membawa kita dekat pada Nya. Amin.

Wallahua'lam

Kenapa kita pilih untuk menghafaz Al-Quran?

Bagaimana mahu memulakan langkah menghafaz Al-Quran?

Soalan ini sering ditanyakan pada saya. Dan saya perhatikan pola atau kebanyakan dari adik-adik atau sahabat saya,mereka ada keinginan untuk menghafaz Al-Quran, tetapi tidak tahu dari mana hendak bermula.Hatta baru-baru ini, adik saya Ikram juga bertanyakan soalan yang sama pada saya.

Baik.

Saya mulakan dengan ‘begin with the end in mind’. Konsep yang sering dilaung-laungkan, bahkan saya sendiri merasakan konsep ini adalah sangat realistik bagi seseorang yang hendak menghafaz Al-Quran. Apakah dia aplikasi konsep ini dalam bidang hafazan Al-Quran?
Konsep ini adalah, dengan meletakkan target di akhirnya, bahawa kita akan menghabiskan 30 juzu dalam berapa tahun yang kita tetapkan,dan di situlah kita mula menyusun langkah dan gerak kerja yang kemas.

Contohnya, saya ketika mula-mula menghafaz Al-Quran, saya meletakkan target hendak khatam dalam masa 2 tahun iaitu tahun 2 dalam pengajian saya. Saya membuat pengiraan, 2 tahun adalah bersamaan 730 hari, manakala AL-Quran pula ada 604 muka surat. Maka saya tahu bahawa, saya perlu menghafaz 1 muka surat sehari, Jika saya beristiqamah menghafaz 1 muka surat sehari, maka saya masih ada berbaki 126 hari yang saya boleh jadikan ‘cuti’ untuk saya fokuskan kepada peperiksaan, ulangkaji pelajaran, komitmen lain, dan yang paling penting boleh mengulang hafazan yang lalu.

Sebulan, 5 bulan atau setahun berlalu, saya dapat menilai dan mengira, berapa banyakkah muka surat yang berbaki, dan mampukah saya menghabiskan dalam masa 2 tahun. Kerana saya menyedari bahawa saya tidak mengikut jadual yang ditetapkan, iaitu saya melebihkan cuti saya yang sepatutnya hanya 126 hari, tapi saya banyak bercuti.

Lalu, apabila berlaku situasi ini,
kuncinya adalah, kita perlu sentiasa meng’update’ atau mengemas kini target kita. Adakah masih realistik target awal kita untuk menghabiskan dalam masa 2 tahun? Atau kita terpaksa membuat target baru, iaitu meng’extend’ sedikit waktu khatam kita itu dengan gerak kerja dan kemampuan yang masih sama , 1 hari 1 muka surat.

Contohnya, tinggal 1 tahun yang berbaki, iaitu 365 hari, tetapi saya masih ada 395 muka surat Al-Quran yang belum dihafaz, maka saya tahu bahawa dengan gerak kerja 1 hari 1 muka surat, saya akan khatam 1 tahun 1 bulan, maka tempoh menghafaz saya bukanlah 2 tahun sebagaimana ditetapkan dari awal, tetapi 2 tahun 1 bulan. Itupun saya sudah tiada cuti lagi.
Tetapi, saya masih ada pilihan lain,jika saya masih mahu menghabiskan dalam masa 2 tahun, saya akan memecut iaitu ada hari-hari yang saya akan menghafaz 2 atau 3 muka surat sehari (jika mampu) kerana untuk meng’compensate’ atau mengganti hari-hari yang saya telah ponteng hafazan ketika dahulu.

The key is, to update the strategy and the target.Orang kata, dan saya juga kata, orang yang hendak menghafaz Al-Quran ini perlu teknikal, dan pengiraan. Saya tidak nafikan hari-hari dalam tempoh saya menghafaz Al-Quran tidak lama dahulu, adalah hari-hari yang saya asyik mengira itu dan ini. Mengira berapakah muka yang berbaki. Mengira bilakah saya akan khatam.Dan pelbagai lagi kiraan lain.

Semua orang yang datang luar Negara,membawa matlamat dan keinginan. Ada yang mahu bertalaqqi, mendalami ilmu agama, mempelajari martial arts, mempelajari bahasa,dan pastilah membawa pulang segulung ijazah apa jua pelajaran yang diambil.

Baik, sekarang saya akan beritahu kepada kalian, mengapa saya rasakan bahawa kalian perlu menjadikan hafazan Al-Quran adalah sebahagian dari matlamat kalian di luar Negara.

Apabila kita dalam bidang pengajian di university terutamanya di luar Negara, kehidupan dan jadual kita ditentukan oleh kita sendiri. Seluruh kehidupan kita adalah milik kita, untuk kita mengisinya. Orang yang terbang ke luar Negara dengan hanya meletakkan target hendak menghabiskan pelajaran dentistry, medicine, bahasa arab, atau apa jua bidang lain, maka mereka akan rugi sebahagian besar dari masa mereka di luar Negara kerana hendak pulang dengan segulung ijazah itu bukanlah sesuatu yang sukar dengan izin Allah.

Secara jelasnya, apabila saya melihat suasana kehidupan pelajar-pelajar di luar Negara terutama di Jordan tempat saya belajar, jika saya tidak meletakkan sesuatu target lain untuk dicapai selain dari belajar pengkhususan saya iaitu pergigian, saya dapat merasakan satu kelompongan dan kekosongan dan ruang yang terlalu besar yang akan saya sia-siakan. Malahan, lompong itu mungkin sahaja akan diisi oleh perkara-perkara lain seperti bersuka dan berfoya-foya dan melepak bersama rakan-rakan sambil membuang masa, atau menonton movie tidak berfaedah dan lain-lain.

Maka, dengan ini, saya yakin bahawa matlamat untuk menghafaz Al-Quran adalah satu matlamat yang sungguh tepat untuk mengisi kelompongan hidup kita di luar Negara. Jadi, apabila kita memilih untuk mencapai matlamat itu, komitmen besar kita dalam beberapa tahun kehidupan kita di luar Negara sudah menjadi dua iaitu, belajar ‘course’ kita dan menghafaz Al-Quran. Kita tahu bahawa pada hari graduasi kita, kita akan dapat sijil ijazah, dan al-quran kita sudah settle hafazannya.

Baik.

The second key is, to have someone beside that we can tasmi’ to. Kena ada guru tasmi’. Dan pastilah elok sekiranya guru itu juga telah khatam hafazannya. Tetapi, tidak salah jika kita tidak menemui hafiz dan hafizah al-quran yang boleh membantu kita, untuk kita mentasmi’ hafazan pada sahabat-sahabat kita. Dan juga elok jika mereka ini bersemangat juga untuk ‘berquran’ seperti kita.

Anda silap besar jika anda merasakan perkara ini remeh temeh. Menghafaz Al-Quran adalah satu perkara besar yang akan mengubah kehidupan anda.

Saya tidak mahu membahaskan tentang mengapa ada hafiz hafizah quran yang mengasingkan diri dari masyarakat, atau hafiz hafizah yang hanyut dan menjadi lebih teruk dari orang-orang biasa, dan pelbagai lagi hujah yang anda mahu ceritakan pada saya. Saya tahu ada kisah-kisah ini dan saya pohon Allah lindungi kita semua.

Apa yang mahu saya bawakan adalah, fatrah menghafaz Al-Quran ini, adalah fatrah tarbiah yang sangat-sangat menguji iman dan pergantungan kita kepada Allah s.w.t.

Sebagaimana orang sering mengatakan bahawa ‘Ramadhan is the school of tarbiyyah’ , saya pula merasakan bahawa fatrah menghafaz Al-Quran adalah University of tarbiyyah. Orang yang tidak menghafaz Al-Quran pasti tidak tahu bahawa betapa ramainya orang yang lari dari jalan menghafaz Quran ini. Berapa ramai yang tersangkut, berapa ramai yang putus asa, futur dan sebagainya.

Futur, putus asa, rasa tak boleh nak go on, adalah perkara biasa dalam perjalanan kita hendak menghafaz Al-Quran. Tetapi bagaimana cara kita untuk bangkit, adalah perkara yang menentukan adakah kita akan kekal mengejar matlamat kita. Bagaimana kita untuk bangun dari jatuh, adalah perkara yang membezakan kita dari orang yang gugur dan hilang dari jalan ini.

Dalam perjalanan kita menghafaz Al-Quran, semakin sukar kita untuk menghafaz, semakin banyak detikan-detikan syaitan untuk menggagalkan kita, dan memutuskan usaha kita. Semakin kita lost. Semakin kita mahu berhenti. Dan resam mukmin penghafaz Al-Quran, segala semakin ini, kita perangi, dengan semakin kita mendekatkan diri dan menyampaikan pengharapan kepada Allah s.w.t agar memudahkan kita.

Semakin sukar kita, semakin besar mujahadah. Semakin besar mujahadah, semakin besar ganjaran kita insyaALLAH. Ketahuilah bahawa saat-saat seorang insan hendak putus asa dalam menghafaz Al-Quran itu, adalah saat yang sangat sukar untuk dia lalui. Sifirnya mudah, kita rasa susah, kita kembali lah pada Allah dan berdoa. Tetapi realitinya tidak semudah itu. Namun, berusahalah seorang yang hendak mencapai matlamatnya menghafaz Al-Quran, untuk kekal mengikut sifir itu dalam kehidupannya.

Semakin kita iltizam,istiqamah dan dekat dengan Allah dalam fatrah kita menghafaz Al-Quran, semakin bernilailah hafazan Quran kita. Semakin kita bergantung dan banyak meminta pertolongan Allah dalam fatrah kita menghafaz Al-Quran, semakin besarlah kesan menghafaz Al-Quran itu dalam kehidupan kita.Semakin kuat bangun malam ketika menghafaz Al-Quran, semakin kita tidak mudah meninggalkan amalan hebat itu selepas kita tamat nanti.

Mudah kata, semakin kuat hubungan kita dengan Allah (kerana menghafaz kalam Tuhan itu memerlukan si hamba dekat dengan Tuhan kerana Dialah yang mengizinkan kita menghafaz satu ayat mahupun satu huruf) semakin berkesanlah university of tarbiyyah itu selepas kita tamat menghafaz Al-Quran, semakin eloklah kehidupan kita selepas graduasi dari university tersebut.

Saya sering merasakan bahawa kerinduan pada fatrah menghafaz Al-Quran itu masih kuat dalam diri saya. Jika masa boleh diputar kembali, saya ingin melalui setiap detik dalam fatrah saya menghafaz Al-Quran dengan lebih baik, dengan lebih mujahadah, dengan lebih dekat, mengharap, dan bergantung, bangun malam bermunajat kepada Allah. Saya terlalu ingin. Namun masa berlalu, dan kita selalu mengingin-inginkan yang lebih indah jika kita begini dan begitu satu masa dahulu, tetapi apa yang kita punyai hanyalah hari ini, dan hari-hari esok (yang mungkin juga bukan milik kita lagi).

Akhirnya saya akur, saya masih ada hari-hari untuk mendekatkan diri pada Allah, agar saya tidak menyesali lagi hari-hari saya. Dan saya berdoa saya dan kalian masih sempat.

Mari kita bersama-sama menghafaz Al-Quran dengan mujahadah yang tiada noktah!

-Maaf kerana saya tidak mengisi post ini dengan dalil-dalil kelebihan menghafaz Quran, kerana saya yakin kalian lebih arif tentang itu dari saya-

Sunday, January 1, 2012

Apabila tiba saat itu kelak.

Sejak akhir-akhir ini, saya ditimpa ujian 'ketakutan' yang agak melampau.

Saya sering memikirkan jutaan kemungkinan dan ujian yang akan Allah timpakan kelak.Dan bagaimanakah akan saya lalui semua itu nanti. Terasa seperti tidak akan mampu.

Ketahuilah,perasaan itu tidak akan pernah mampu dikawal oleh diri sendiri. Sesungguhnya Allah S.W.T sahajalah yang mampu dan berkuasa mencampakkan apa-apa rasa dalam hati kita.

Dan kerana itulah, saya telah cuba meyakinkan diri dengan pelbagai cara dan kata-kata, namun begitu, saya lelah dan gagal di penghujungnya.

Saya masih lagi takut dan bimbang.

Sehinggalah satu saat, Allah campakkan sebuah ketenangan dan keyakinan yang menyedarkan saya hakikat keimanan yang telah lama tidak saya renungi.

Bahawa,

Sehingga tiba saat-saat ujian yang akan Allah timpakan itu, saya ada Allah untuk bergantung harap. Dan jika ditakdirkan bahawa ujian itu tidak dapat saya lalui dengan baik, saya masih ada Allah. Saya masih hamba Allah dalam apa-apa keadaaan sekalipun.

Jika segala item, ciptaan, dan kesinambungan dari segala kewujudan dalam dunia ini telah Allah takdirkan untuk mencetus satu ujian untuk saya, saya masih hamba ALLAH ketika itu. Dan kerana itu saya masih ada Allah untuk berpaling pada.

Dan saya perlu besarkan jiwa, agar saya tahu bahawa akhirat adalah medan sebenar nanti. Ujian dunia, tangani cara dunia. Ujian yang perlu saya takuti sebenar-benarnya adalah ujian untuk melawan hawa nafsu saya sendiri kerana itulah ujian yang menentukan masa depan medan sebenar saya kelak.

Makanya, saya sedar bahawa jikalah kelak saya diuji dengan ujian dunia, saya masih hamba Allah dan dengan keizinannya saya mengharapkan agar saya dapat lalui dan selesaikan dengan baik.

Dan saya perlu takutkan ujian yang menentukan nasib saya di akhirat nanti, iaitu ujian hawa nafsu.

"Kebimbangan dunia menggelapkan hati dan kebimbangan akhirat itu cahaya untuk hati"
Saidina Uthman

Semoga hati saya, mak abah, adik-beradik, saudara mara,dan sahabat- sahabat saya semuanya dihiasi cahaya-cahaya kebimbangan untuk akhirat ini.

Agar tuaian kita kelak lumayan. Bertemu Tuhan dalam keadaan terbaik dalam kisah hidup kita.


قال صلى الله عليه وسلم: "والله ما الدنيا في الآخرة إلا مثل ما يجعل أحدكم أصبعه في اليم فلينظر بم يرجع" أخرجه مسلم وأحمد -صحيح الحامع 7100

وقال صلى الله عليه وسلم: "من كانت الآخرة همه جعل الله غناه في قلبه وجمع له شمله وأتته الدنيا وهي راغمة، ومن كانت الدنيا همه جعل الله فقره بين عينيه، وفرق عليه شمله ولم يأته من الدنيا إلا ما قُدر له" رواه الترمذي عن أنس وصححه الألباني - صحيح الجامع 6510