Wednesday, November 14, 2012

2 Tahun Terakhir

Bismillah.

Sudah lama sungguh tidak menulis.

Beberapa bulan telah berlalu semenjak tarikh terakhir saya menulis. Dan dalam beberapa bulan itulah, terlalu banyak perkara telah Allah takdirkan untuk berlaku dalam kehidupan saya. Terlalu banyak perkara yang berubah, dari pelbagai sudut. Cepat sungguh masa berlalu, dan secepat itu pula hayat ini akan berakhir. Semoga Allah mengurniakan husnul khatimah untuk kita. Amin.

Tahun ini adalah tahun kedua terakhir sebelum saya akan pulang ke Malaysia menamatkan pengajian. InsyaALLAH. Dan sayup-sayup keberatan itu sudah mula terasa. Aneh juga, kerana mungkin bagi sesetengah orang, masih awal untuk saya merasai suasana perpisahan itu. Tapi hakikatnya, saya memang berat hati meninggalkan tanah tempat saya belajar banyak perkara ini. Berat hati kerana perpisahan dengan sahabat-sahabat soleh dan solehah yang entah bila pula akan bertemu dengan orang sebaik mereka.

Tiga tahun yang berlalu di sini, merupakan tiga tahun yang pantas, tetapi penuh berisi. Saya belajar jutaan perkara, yang menolak saya untuk berubah dari sudut itu dan ini, menujah saya untuk menukar pandangan saya dalam perkara itu dan ini. Saya langsung tidak menafikan bahawa kehidupan ini adalah pelajaran, dan itu bermakna tahun-tahun sebelum saya datang ke Jordan juga adalah pelajaran buat saya, tetapi pada tahap ini dan umur sebegini, saya baru sahaja mula cuba untuk berfikir-fikir dan merenungi perjalanan kehidupan, dan matlamat yang perlu saya tuju.

Dalam beberapa tahun di Jordan, saya banyak berfikir bagaimana dan apa yang telah Allah sembunyikan di sebalik kisah-kisah hidup saya dan orang sekeliling, di sebalik tempat-tempat yang Allah takdirkan saya untuk berada di situ untuk jangka masa yang lama, di sebalik orang-orang sekeliling yang Allah takdirkan saya untuk tinggal dalam kelompok mereka, di sebalik sahabat-sahabat yang Allah takdirkan mereka untuk mengelilingi saya dan hidup berdamping dengan mereka, dan suasana yang Allah letakkan saya di dalamnya.

Saya jatuh. Saya bangun. Saya berjalan. Saya berlari. Saya menangis. Saya ketawa. Saya makan. Saya minum. Saya belajar. Tetapi semua itu saya lakukan di tempat, suasana, dan bersama orang-orang yang berbeza dalam setiap tempoh atau fatrah tertentu dalam kehidupan saya. Ah, terlalu banyak yang masih belum saya fahami.

Orang kata lingkaran sahabat sekeliling yang rapat dengan saya semua baik-baik. Dan saya dengan sepenuh hati dan kesyukuran mengakui perkara itu, membuatkan hati ini cepat terasa beratnya hendak berpisah dengan kebaikan mereka. Orang juga berkata hidup terlalu selesa jika hanya dikelilingi kebaikan dan orang yang baik,tetapi saya berkata bahawa mudah-mudahan jika suatu hari nanti Allah campakkan saya di satu tempat yang asing suasananya, tiada orang baik-baik, apa yang telah saya lalui dan fatrah bersama dengan sahabat-sahabat baik satu ketika dahulu itu menjadi kekuatan untuk saya, menjadi isi untuk saya sampaikan, menjadi pengalaman istiqamah buat saya terus mengusahakan istiqamah yang sama di mana-mana.

Orang yang tidak merasa, dia tidak akan faham. Jika saya tidak pernah mengusahakan istiqamah untuk diri saya dalam suasana, sahabat dan tempat yang baik ini, maka mungkin sahaja jika saya berpisah dengan suasasa begini, saya tidak tahu apa-apa. Tidak tahu apa yang saya rindui. Tidak tahu apa yang saya hilang. Tidak tahu apa yang perlu saya usaha untuk diistiqamahkan, kerana memang saya tidak pernah merasa istiqamah itu.

Mungkin tahun-tahun ini adalah tahun-tahun yang Allah takdirkan untuk mendidik saya. Mungkin didikan itu adalah persediaan untuk tahun-tahun akan datang. Mungkin.




No comments:

Post a Comment