Thursday, April 26, 2012

Hari riang! Alhamdulillah.

"أحبك في الله"

Kata sheikhah Umaimah, saat kami bersalaman.

Tersenyum riang saya sepanjang perjalanan pulang dari kelas pengajian kitab tanbihul ghafilin menuju ke tempat mesyuarat.

Saya membalas pendek sahaja kata-kata sheikhah tadi , kerana agak terkejut dan terharu. 

Namun selepas itu, ada tuturan ikhlas darinya, 

"Pasti satu hari nanti awak akan lupakan saya. Saya sudah bertemu ramai orang dalam kehidupan ini, dan seorang demi seorang mengatakan hal yang sama, mengatakan mereka tidak akan melupakan saya, tetapi itulah juga yang berlaku akhirnya.."

Saya lebih-lebih lagi terdiam. Hanya mampu berkata "tidak.. pasti tidak.. insyaALLAH.."

Jauh di hati saya, saya sangat sayangkan insan-insan yang Allah hadirkan untuk mendidik jiwa saya yang lemah ini. Tidak pernah saya terbayangkan bahawa saya dikurniakan oleh Allah peluang untuk bertemu dengan mereka yang dapat saya rasakan bahawa hubungan dan pergantungan nya pada Allah sangat erat. Kata-kata mereka sungguh ringan untuk masuk menyentuh jiwa keras saya. Dan pastilah Allah lebih mengetahui darjat mereka di sisi-Nya, mungkin jauh lebih mulia dari yang manusia terbayangkan. Allah,banyak lagi yang perlu saya timba dan pelajari dari mereka. 

Mereka ini telah membawa saya pulang memeluk jiwa hamba. Mereka mendidik hati dan ruh saya dengan pasak-pasak iman. Mereka mahu saya menjadi insan yang penuh dengan sabar, penuh dengan redha, penuh dengan tawakkal pada Tuhan. 

Segala pasak-pasak inilah yang sering ditutur dan diulang-ulang oleh sheikhah saya sepanjang pengajian. Agar saya tidak membesar-besarkan lagi seluruh dunia dan seisinya. Agar saya menundukkan hati dari persoalan-persoalan takdir Tuhan yang berlarutan. 

Jauh dalam hati, saya yakin saya pasti merindui saat-saat bersama dengan guru-guru saya sepanjang di Jordan ini. Semahu mana saya agar masa ini pantas berlalu, sekuat itu jugalah rasa agar sebahagian lagi dimensi waktu lambat berlalu. Tapi saya akur, dunia tidak begitu. 

Bersyukur kerana ada juga kisah ini di antara ribuan kisah dalam hidup saya. Dan pastilah Allah yang mentakdirkan dan memberi peluang untuk saya merasai kisah ini. Akan saya kenang insyaALLAH.




No comments:

Post a Comment